- LATAR BELAKANG ORGANISASI / UNIT
1.1. Pengenalan
Unit Kecemasan Dan Trauma, Hospital Setiu terletak di aras bawah bangunan utama. Pada masa ini, Unit Kecemasan mempunyai 8 katil dan terdapat beberapa perkhidmatan lain yang dijalankan dalam masa yang sama adalah:
- Red Zone (mempunyai 2 katil).
- Yellow Zone (mempunyai 2 katil).
- Green Zone (mempunyai 3 katil).
- Secondary Triage(1 katil untuk pemeriksaan pesakit).
- Transit Zone (Asthma Bay)
- Bilik Plaster P.O.P.
- Bilik Prosedur.
- Bilik OSCC
- Bilik Gowning (Persediaan bagi Kes H1N1/ MERS-CoV/ Covid)
Peranan utama unit ini ialah menyediakan perkhidmatan untuk semua kategori penyakit termasuk menerima, memeriksa, mendiagnosa, merawat dan merujuk pesakit secara berkualiti dan professional bagi pesakit yang kritikal dan bukan kritikal termasuk menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan bagi menampung keperluan pelbagai disiplin penyakit.
Selaras dengan peranan unit ini, ia terletak di laluan utama dengan beberapa kemudahan seperti tempat menaikkan dan menurunkan pesakit yang luas dan tempat menunggu yang luas dan selesa. Pegawai klinikal yang professional dan terlatih, peralatan yang cukup, ambulan yang mempunyai kemudahan yang baik dan unit yang berhawa dingin dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti untuk pesakit. Unit-unit yang berkait rapat seperti Unit Farmasi, Unit Patologi dan Unit Radiologi juga terletak berhampiran unit ini.
1.2. Visi & Misi
1.2.1 Visi
Hospital Setiu sebagai sebuah hospital cemerlang yang berteraskan ICT dan mampu menyediakan perkhidmatan berkualiti secara berterusan seiring dengan perkembangan teknologi perubatan terkini.
1.2.2 Misi
Memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan menggunakan teknologi terkini bagi mewujudkan masyarakat yang sihat dan bermaklumat demi mencapai kepuasan pelanggan melalui budaya kerja penyayang, semangat kerja berpasukan dan nilai profesionalisma yang tinggi.
1.3. Objektif
1.3.1 Umum
Memberikan perkhidmatan 24 jam setiap hari dengan konsep rawatan yang cepat, cekap dan tepat. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian seminima mungkin dan meringankan komplikasi kecederaan bagi keselesaan pesakit.
1.3.2 Khusus
1.3.2.1. Menyediakan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Trauma dengan cepat, tepat dan definitif.
1.3.2.2. Menyediakan penjagaan yang bersepadu dan komprehensif dengan lancar dan berterusan dari penetapan pra hospital hingga ke perkhidmatan hospital.
1.3.2.3. Menyediakan pengurusan berkualiti secara menyeluruh dalam semua fasa pengurusan dari penjagaan pra hospital hingga ke perkhidmatan “triage” dan pengagihan ke pelbagai zon rawatan yang berdedikasi seperti; zon kritikal (merah), zon separa kritikal (kuning) dan zon tidak kritikal (hijau).
1.3.2.4. Menyediakan resusitasi dan stabilisasi yang cekap dan berkesan serta perkhidmatan diagnostik dan intervensi menyelamat nyawa yang tepat.
1.3.2.5. Pengurusan pesakit kritikal hendaklah diurus oleh pasukan yang mahir terdiri dari pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan lain-lain anggota kesihatan.
1.4 Kenyataan Polisi
1.4.1. Dokumen polisi ini meliputi bahagian-bahagian utama perkhidmatan perubatan kecemasan dan trauma Hospital Setiu yang meliputi organisasi dan pengurusan unit, pembangunan dan pengurusan sumber manusia, polisi-polisi dan prosedur-prosedur, fasiliti dan peralatan, aktiviti-aktiviti peningkatan prestasi serta keselamatan dan keperluan khas.
1.4.2. Dokumen ini meliputi semua isu berkenaan polisi pengurusan pesakit, tadbir urus klinikal, pentadbiran dan etika.
1.4.3. Dokumen polisi ini mengariskan piawaian-piawaian kualiti komponen-komponen organisasi termasuk perkhidmatan, amalan professional, struktur dan perkakasan.
1.4.4. Dokumen polisi ini bertindak sebagai panduan kepada anggota-anggota Unit Kecemasan, pentadbir-pentadbir hospital, pembuat polisi dan pihak-pihak berkepentingan tentang konsep dan falsafah Unit Kecemasan dan Trauma berkenaan pembangunan, keperluan, polisi operasi dan halatujunya.
1.4.5. Polisi ini hendaklah di gunapakai oleh semua lapisan anggota-anggota hospital terutama anggota Unit Kecemasan dan Trauma dan setiap usaha harus di buat untuk mencapai matlamat dokumen ini.
1.4.6. Dokumen polisi ini hendaklah dikemaskini samaada dalam bahagian atau secara keseluruhan setiap tiga (3) tahun atau lebih awal jika berlaku perubahan.
- STRUKTUR ORGANISASI / UNIT
2.1 Piagam Pelanggan
Keutamaan akan diberikan kepada kes kritikal dan separa kritikal di Jabatan Kecemasan Dan Trauma dengan masa menunggu seperti berikut:
2.1.1. Semua kes kritikal (Zon Merah) dirawat dengan serta merta.
2.1.2. Semua kes separa kritikal (Zon Kuning ) dirawat dalam masa 30 minit.
2.1.3. Lain-lain kes (Zon Hijau) akan dilihat dalam masa 90 minit