1. Perkhidmatan Pakar Oftalmologi Lawatan
Perkhidmatan Pakar Oftalmologi Lawatan bermula sejak tahun 2002 di Hospital Kemaman. Hospital Kemaman belum ditempatkan Pakar Oftalmologi, namun perancangan ke arah pembentukan Hospital Kemaman sebagai Pusat Rawatan Oftalmologi Kedua Negeri Terengganu giat dijalankan.
2. Perkhidmatan Optometri
a. Ujian Penglihatan dan Refraksi
·         Menentukan daya penglihatan pesakit dengan jitu merangkumi semua peringkat umur dari bayi hingga dewasa
·         Ujian refraksi - pengukuran kuasa ralat refraktif mata seterusnya menentukan preskripsi cermin mata yang sesuai bagi pesakit yang memerlukan cermin mata bagi kes-kes myopia, hiperopia, astigmatisma, presbiopia, juling, ambliopia, penglihatan terhad dan termasuk pesakit-pesakit yang belum dan telah menjalani pembedahan mata.
b. Ujian Penglihatan Binokular dan Ortoptik
Pemeriksaan ke atas pesakit yang mengalami masalah koordinasi kedua mata dan juling. Rawatan yang diberikan adalah secara cermin mata, prism atau latihan mata.
c. Ujian Medan Penglihatan
Melakukan ujian medan penglihatan pesakit dengan Bjerrum Screen dan Automated Visual Field bagi pesakit glaukoma dan diabetik.
d. Ujian Penglihatan Warna
Pemeriksaan penglihatan warna dijalankan bagi pelajar sekolah, calon untuk pengambilan lesen memandu serta penyakit-penyakit berkaitan.
e. Saringan Diabetik Retinopati
Saringan kesihatan mata bagi pesakit diabetik dijalankan bagi pesakit yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman. Pemeriksaan ini adalah bertujuan dalam pengesanan awal Diabetik Retinopati bagi mengawal dan mencegah kebutaan.
f. Saringan Glaukoma
Semua pesakit yang dirujuk ke Unit Oftalmologi akan disaring dengan pemeriksaan retina bagi pengesanan awal penyakit glaukoma.
g. Saringan Ralat Refraktif Pelajar Sekolah Rendah
Saringan ralat refraktif dikalangan pelajar sekolah rendah dijalankan di Klinik Kesihatan di dalam daerah Kemaman dan Dungun.
h. Perkhidmatan Penglihatan Terhad (Low Vision)
Memberi rawatan kepada pesakit yang berpenglihatan terhad dan menentukan jenis peralatan bantuan penglihatan yang sesuai digunakan serta merujuk pesakit ke badan-badan tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekolah Latihan Khas, jika perlu.
i. Perkhidmatan Rawatan Susulan Kanta Sentuh
Membantu pesakit yang telah memakai kanta sentuh dirujuk daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Tengku Ampuan Afzan. Memastikan cara pemakaian kanta sentuh pesakit adalah tepat serta memeriksa status kesihatan mata dan keadaan kanta sentuh dalam keadaan sihat dan baik, sebagai langkah mencegah komplikasi kanta sentuh terbentuk.