Bahagian Farmasi


1. Apakah itu ubat berdaftar ?

  • Ubat berdaftar adalah ubat yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tujuan penggunaan dan jualannya di Malaysia. Produk ini telah dianalisa dan diuji akan keberkesanan dan keselamatannya. Setiap ubat yang telah berdaftar akan diberi nombor pendaftaran dan mestilah dicetak pada labelnya. Nombor pendaftaran tersebut bermula dengan MAL. Sebagai contoh : MAL19976399X.

2. Di manakah aduan boleh dibuat jika sesuatu produk tidak berdaftar dijumpai ?

  • Aduan boleh dibuat di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Petaling Jaya atau kepada mana-mana pegawai penguatkuasa farmasi di setiap negeri.

3. Bagaimanakah mengenalpasti samada produk tersebut berdaftar atau tidak ?

  • Produk tersebut boleh diperiksa dengan melihat nombor pendaftaran pada label botol atau pek produk tersebut. Produk tersebut boleh dikenalpasti dengan huruf MAL dan diikuti dengan 8 angka diakhiri dengan huruf T/X/A/K.

T - Ubat tradisional

X - Ubat bukan racun

A - Ubat terkawal yang mengandungi racun berjadual

K - Kosmetik

(Contoh MAL19991234T atau MAL07021234X atau NOT08023456) 

4. Apakah SPUB?

  • SPUB adalah singkatan untuk Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu. Melalui sistem ini pesakit boleh mengambil ubat di fasiliti kesihatan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya.

5. Bagaimana saya boleh mendapat perkhidmatan SPUB ?

  • Untuk mendapatkan perkhidmatan SPUB, pesakit perlu memberitahu petugas di kaunter farmasi di mana beliau menerima rawatan. Bekalan ubat pertama akan diberi di kaunter farmasi di mana beliau menerima rawatan dan bekalan baki ubat seterusnya boleh didapati menerusi SPUB.

6. Apakah perbezaan ubat berjenama dengan ubat generik ?

  • Ubat berjenama dilindungi oleh hak paten untuk tempoh tertentu. Setelah tempoh paten ini tamat, syarikat pengeluar ubat lain boleh mengeluarkan ubat ini dengan harga yang lebih murah. Kandungan aktif ubat generik adalah sama dengan kandungan aktif ubat berjenama.

7. Kenapa harga ubat generik lebih murah?

  • Untuk menghasilkan sesuatu ubat baru memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Selama tempoh paten ubat tersebut, syarikat pengeluar akan cuba untuk mendapatkan pulangan modal yang mereka telah keluarkan. Ubat generik boleh dikeluarkan dengan lebih murah kerana syarikat pengeluar tidak membelanjakan wang untuk menghasilkan ubat tersebut.

8. Di mana saya perlu simpan ubat-ubatan?

  • Ubat-ubatan perlu disimpan di tempat sejuk yang tidak terdedah kepada matahari. Maklumat penyimpanan ada terdapat dalam risalah yang terdapat di dalam kotak ubat atau pada label ubat.

9. Adakah ubat perlu diambil sebelum atau selepas makan?

  • Setiap ubat berbeza cara makannya, samada sebelum atau selepas makan. Sila baca maklumat yang terdapat pada risalah maklumat ubat atau pada label ubat. Sekiranya memerlukan maklumat lebih lanjut, boleh bertanya dengan ahli farmasi.

10. Bagaimanakah untuk mendapatkan khidmat kaunseling ubat-ubatan?

  • Pelanggan boleh memaklumkan kepada pegawai farmasi semasa mengambil ubat di kaunter farmasi.

11.Untuk maklumat lanjut boleh hubungi :

  • BAHAGIAN FARMASI,

JABATAN KESIHATAN NEGERI TERENGGANU,

TINGKAT 5, WISMA PERSEKETUAN,

JALAN SULTAN ISMAIL,

20920, KUALA TERENGGANU.

NO.TEL : 096222866