Penilaian Risiko Covid-19 Bagi Individu Yang Baru Masuk Ke Negeri Terengganu


 

1. Apakah yang dimaksudkan dengan penilaian risiko dan siapakah yang perlu menjalani penilaian risiko tersebut?

Jawapan:

Penilaian risiko adalah satu aktiviti penilaian yang dijalankan terhadap seseorang inidividu bagi mengetahui tahap risiko mereka terhadap jangkitan Covid-19. Ianya berdasarkan kepada maklumat yang dinyatakan dalam Borang Deklarasi Kesihatan. Penilaian risiko ini dibuat ke atas individu yang memasuki Terengganu dari negeri luar terutama dari Zon Merah atau kawasan kluster aktif.

2. Bagaimanakah penilaian risiko Covid-19 dijalankan?

Jawapan:

Secara asasnya penilaian risiko dibuat berdasarkan 2 kriteria utama iaitu A) Kriteria Epidemiologi dan B) Kriteria Klinikal. Selain daripada itu beberapa faktor lain seperti umur dan sejarah kesihatan pesakit juga akan diambil kira oleh petugas. Kriteria- kriteria ini dikenalpasti melalui Borang Deklarasi Kesihatan yang perlu diisi oleh individu yang dinilai.

  •  Kriteria Epidemiologi mengambil kira kawasan individu tersebut pernah hadir dalam tempoh 14 hari lepas, samada pernah ke zon merah atau lokaliti kluster aktif. Maklumat samada seseorang itu menjadi kontak kepada pesakit Covid-19 juga diambil kira sebagai kriteria epidemiologi
  •  Kriteria Klinikal merujuk kepada gejala-gejala yang dialami dalam tempoh 14 hari lepas. Gejala ini dibahagikan kepada gejala utama dan gejala umum. Gejala utama adalah seperti sesak nafas, kesukaran bernafas, hilang deria bau secara tiba-tiba (anosmia) dan hilang deria rasa secara tiba (ageusia). Gejala ini sangat penting dan sering dikaitkan dengan Covid-19. Manakala gejala umum adalah demam, batuk, sakit kepala, hidung tersumbat, selesama, sakit tekak, menggigil, cirit birit, muntah, kejang otot dan Jika seorang itu mengalami sekurang-kurangnya satu gejala utama atau dua gejala umum tanpa sebab yang jelas (without any obvious reasons), mereka boleh disyaki mengalami tanda2 Covid-19 dan akan diarahkan menjalani ujian saringan.

Apa yang dinyatakan di atas adalah sebagai panduan umum sahaja. Petugas kesihatan yang menjalankan penilaian risiko akan membuat keputusan berdasarkan kriteria di atas dan faktor-fakotr lain yang mungkin berkaitan.

3. Apakah kemungkinan keputusan hasil penilaian risiko?

Jawapan:

Melalui penilaian risiko, seseorang itu akan diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, berisiko sederhana atau berisiko rendah. Mereka yang berisiko tinggi dan sederhana akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19. Mereka juga mungkin akan diberikan perintah pengawasan sementara. Bagi yang berisiko rendah boleh dibenarkan pulang dan dinasihatkan untuk menjalani pemantauan kesihatan kendiri di rumah.

4. Adakah penilaian risiko bermaksud menjalankan swab test?

Jawapan:

Tidak. Penilaian risiko bertujuan untuk menilai risiko seseorang terhadap jangkitan Covid-19. Sekiranya hasil penilaian mendapat seseorang itu berisiko, barulah ujian saringan/swab test Covid -19 dijalankan.

5. Saya berada di Lembah Klang dan akan pulang ke kampung dalam masa terdekat. Apakah yang perlu saya lakukan. Adakah saya boleh menjalankan penilaian risiko di Lembah Klang?

Jawapan:

Penilaian risiko yang digariskan oleh pihak kami merupakan salah satu inisiatif dalam melindungi Zon Hijau di Terengganu (Protect Our Green Zone Initiative). Penilaian bagi tujuan inisiatif ini khusus kepada mereka yang tiba atau berada di Negeri Terengganu dan tidak dijalankan di negeri lain.

Apabila anda tiba di Terengganu, anda boleh ke mana-mana klinik kesihatan atau hospital berhampiran untuk menjalani menjalani penilaian risiko.

6. Di manakah tempat saya boleh menjalani penilaian risiko. Adakah saya perlu membuat temujanji dahulu sebelum membuat penilaian risiko?

Jawapan:

Penilaian risiko boleh dillaksanakan di mana-mana klinik kesihatan atau hospital kerajaan berhampiran. Penilaian di klinik kesihatan dijalankan pada hari dan waktu bekerja dan anda boleh hadir secara walk-in tanpa temujanji.

7. Saya dijangka tiba di Terengganu pada jam 6.00 petang dari Kuala Lumpur. Adakah saya boleh terus ke klinik kesihatan untuk menjalani penilaian risiko. Adakah proses penilaian ini dibuka 24 jam?

Jawapan:

Penilaian risiko di klinik kesihatan dijalankan pada hari dan waktu bekerja. Sekiranya anda tiba selepas waktu pejabat, anda boleh hadir ke hospital berhampiran sehingga jam 10.00 malam ATAU anda boleh hadir ke klinik kesihatan pada hari bekerja berikutnya. Sementara itu, anda dinasihatkan untuk mematuhi SOP yang ketat dengan menjaga jarak, mengelakkan bersentuhan dan sembang dekat walaupun sesama ahli keluarga, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

Seeloknya rancang perjalanan anda supaya anda berpeluang menjalani penilaian risiko sebaik tiba di Terengganu.

8. Sekiranya saya didapati berisiko dan diarahkan menjalani ujian saringan Covid- 19, adakah saya perlu membayar kos ujian atau ianya dilakukan secara percuma?

Jawapan:

Penilaian risiko dilaksanakan secara percuma. Sekiranya didapati berisiko dan anda DIARAHKAN oleh petugas kesihatan untuk menjalani ujian saringan Covid-19, anda tidak perlu membayar kos ujian tersebut.

9. Kawasan tempat tinggal saya di negeri Pantai Barat berada di Zon Jingga. Adakah saya perlu menjalani penilaian risiko apabila tiba di Terengganu. Adakah penilaian ini untuk individu dari Zon Merah sahaja?

Jawapan:

Penilaian risiko digalakan kepada individu yang datang dari Zon Merah. Namun mereka yang datang dari Zon Kuning dan Jingga dari luar Terengganu boleh juga hadir ke fasiliti kesihatan untuk menjalani penilaian risiko.

10. Jika individu dari Zon Merah yang memasuki Terengganu tidak hadir menjalani penilaian risiko, adakah mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 342?

Jawapan:

Penilaian risiko adalah inisiatif yang dibuat secara sukarela. Sekiranya seseorang individu tidak hadir untuk penilaian risiko, beliau tidak dikenakan tindakan di bawah

Akta 342. Namun kejujuran dan rasa tanggungjawab daripada individu seperti ini amat diharapkan demi melindungi keluarga di kampung, kenalan dan masyarakat serta menjaga Zon Hijau di Negeri Terengganu.

11. Semasa di Lembah Klang, saya telah menjalani ujian Covid-19 dua hari sebelum pulang ke Terengganu dan didapati negatif. Adakah saya perlu menjalani penilaian risiko apabila tiba di Terengganu?

Jawapan:

Anda dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP semasa berada di Terengganu nanti. Walaupun telah menjalani ujian dan didapati negatif, pendedahan masih berlaku selepas ujian tersebut dijalankan.

12. Saya dapati ada rakan sekampung yang baru tiba dari Zon Merah tetapi tidak menjalani penilaian risiko. Apakah yang perlu saya lakukan? Adakah boleh saya melaporkan ke klinik kesihatan atau pejabat kesihatan daerah berhampiran?

Jawapan:

Penilaian risiko adalah inisiatif yang dibuat secara sukarela. Anda boleh menasihati rakan tersebut untuk hadir ke klinik kesihatan bagi menjalani penilaian. Tanggungjawab untuk melaksanakan penilaian risiko ini penting untuk melindungi ahli keluarga terdekat, kenalan, komuniti dan Negeri Terengganu.