Khamis, 24 Ogos 2017
- - - - - -
A+ R A-

Cawangan Penguatkuasaan Farmasi

  • Diterbitkan: Khamis, 10 Disember 2015 18:49
  • Ditulis oleh Administrator
  • Jumlah paparan: 872

PENGENALAN

Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Terengganu merupakan salah satu komponen Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, pada masa yang sama ia juga merupakan cawangan negeri kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. 

FUNGSI UTAMA

Untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan ubat-ubatan. Undang-undang yang dikuatkuasakan adalah seperti berikut :

  • Akta Racun 1952
  • Akta Jualan Dadah 1952
  • Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951
  • Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956
  • Akta Dadah Berbahaya 1952, serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawah akta-akta ini

Selain daripada aktiviti penguatkuasaan undang-undang yang melibatkan pemeriksaan, pengeluaran lesen/permit, serbuan, penyiasatan dan pendakwaan, penguatkuasaan farmasi juga menjalankan aktiviti perlindungan pengguna yang bertujuan mengurangkan permintaan terhadap ubat-ubatan dan produk kosmetik yang tidak sah, serta membekalkan para pengguna dengan ilmu dan pengetahuan tentang ubat.

AKTIVITI YANG DILAKSANAKAN

Berikut adalah sebahagian daripada senarai tugas yang dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Terengganu:

a) Pelesenan

Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Terengganu terlibat dalam pengeluaran Lesen Racun Jenis A, B dan permit Natrium Hidroksida.

Lesen Jenis A dikeluarkan kepada Ahli Farmasi yang berdaftar penuh dengan Lembaga Farmasi Malaysia untuk mengimport, menyimpan dan berurusniaga dengan semua racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 secara runcit, borong, atau borang dan runcit. Tiada yuran yang dikenakan untuk Lesen Racun Jenis A.

Lesen Jenis B pula dikeluarkan kepada seseorang yang layak untuk mengimport, menyimpan, dan menjual secara borong, racun yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 (tidak termasuk Racun Kumpulan A). Yuran yang dikenakan untuk Lesen Racun Jenis B adalah sebanyak RM100.

Permit Natrium Hidroksida dikeluarkan kepada seseorang yang layak untuk membeli, menyimpan, dan menggunakan Natrium Hidroksida dalam kuantiti yang ditetapkan dalam permit. Yuran yang dikenakan untuk Permit Natrium Hidroksida adalah sebanyak RM20.

Untuk permohonan baru, pemohon perlu lulus sesi temuduga yang akan dilaksanakan oleh Pegawai Penguatkuasa Farmasi dari jabatan ini. Permohonan baru untuk lesen dan permit yang telah lengkap akan diproses dan dikeluarkan dalam masa 10 hari bekerja. Untuk tahun 2009, sebanyak 28 lesen Jenis A, 34 Lesen Jenis B, dan 47 Permit Natrium Hidroksida telah dikeluarkan.

b) Pemeriksaan

Pemeriksaan merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Terengganu untuk memastikan undang-undang yang dikuatkuasakan dipatuhi oleh semua pihak. Semua premis yang ada pemegang Lesen Jenis A, pemegang Lesen Jenis B, pemegang Permit Natrium Hidroksida, serta pemegang Lesen Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) akan diperiksa oleh pegawai penguatkuasa farmasi secara berkala. Tumpuan utama pemeriksaan adalah amalan di premis-premis agar sejajar dengan peruntukan undang-undang dan syarat-syarat yang dikenakan dalam lesen dan permit.

Pemeriksaan juga dijalankan ke atas premis berdaftar seperti klinik dan hospital swasta, serta klinik pergigian untuk memastikan peruntukan undang-undang dari segi pembelian, penyimpanan, pembekalan dan penggunaan ubat-ubatan dipatuhi oleh pengamal-pengamal perubatan dan pergigian.

Untuk mengelakkan ubat yang tidak sah seperti ubat yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, ubat, kosmetik, dan makanan yang dicampur palsu dengan ubat terkawal, serta ubat tiruan berleluasa di pasaran, pemeriksaan turut dijalankan di mana-mana premis yang menjual ubat-ubatan; seperti kedai ubat tradisional, kedai runcit, salun, butik, stokis produk kesihatan, serta gerai-gerai di pasar pagi dan pasar malam. Selain daripada itu, pemeriksaan juga bertujuan memastikan ubat terkawal hanya boleh diperoleh daripada sumber yang sah seperti klinik, farmasi, dan hospital, dan bukan daripada premis-premis lain.

c) Penerimaan Aduan dan Risikan

Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Terengganu menerima dan mengalu-alukan aduan berkaitan dengan kegiatan yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan, serta menjalankan siasatan lanjutan ke atas aduan tersebut untuk memutuskan tindakan selanjutnya. Risikan dijalankan untuk megumpul maklumat yang secukupnya untuk memastikan operasi serbuan yang dirancang berjalan dengan lancar. Persampelan ubat-ubatan, kosmetik dan makanan kesihatan juga dilaksanakan bagi artikel yang disyaki dicemari racun berjadual bagi tujuan perancangan operasi serbuan, supaya masyarakat tidak terdedah kepada artikel-artikel ini tanpa pengawasan.

d) Serbuan

Salah satu tujuan operasi serbuan dijalankan adalah untuk memastikan ubat yang tidak sah tidak berleluasa di pasaran, serta memastikan amalan individu yang diberi hak mengendalikan ubat terkawal tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

Sasaran serbuan tidak terhad kepada premis berlesen (pemegang Lesen Jenis A, pemegang Lesen Jenis B, dan pemegang Permit Natrium Hidroksida) dan premis berdaftar (klinik, hospital swasta, dan klinik pergigian) sahaja, malahan pemilik premis yang bukan premis berlesen seperti kedai ubat tradisional, kedai runcit, salun, butik, stokis produk kesihatan, gerai-gerai di pasar pagi dan pasar malam, serta rumah kediaman juga boleh diambil tindakan sekiranya disyaki terlibat dalam kegiatan yang melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.

e) Penyiasatan

Kebiasaannya, penyiasatan dijalankan setelah sesuatu serbuan selesai. Namun, penyiasatan juga boleh dilakukan berasaskan aduan daripada orang umum dan diselaraskan dengan aktiviti risikan untuk tindakan selanjutnya. Penyiasatan juga dilakukan ke atas iklan yang telah melanggari Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 serta Peraturannya.

Penyiasatan bermula dengan pengumpulan eksibit yang berupa dokumen daripada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kimia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, dan lain-lain, serta pengambilan rakaman percakapan daripada suspek dan individu yang berkaitan. Seterusnya, pertuduhan akan disediakan dan fail siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk memohon sanksi pendakwaan atau arahan mendakwa. Setelah sanksi pendakwaan atau arahan mendakwa dikeluarkan, kes tersebut akan didaftarkan di mahkamah untuk tindakan undang-undang.

f) Pendakwaan

Pendakwaan merupakan tindakan undang-undang yang diambil ke atas individu atau syarikat yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan dan melakukan kesalahan di bawah undang-undang tersebut.

g) Perlindungan Pengguna

Pengenalan

Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri Terengganu juga terlibat dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti seperti pameran, dialog, ceramah, dan penyebaran flyer, yang bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan ahli masyarakat berkaitan ubat serta isu-isu terkini yang mempunyai kaitan rapat dengan ubat. Masyarakat perlu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan ubat agar dapat berdepan dengan isu-isu yang telah dikenal pasti akan menjejaskan kualiti kesihatan mereka jika perkara-perkara ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

Antara isu-isu tersebut adalah;

  • ubat yang tidak berdaftar
  • ubat, kosmetik dan makanan yang dicemarai racun berjadual
  • ubat palsu/tiruan
  • penjualan ubat terkawal (racun berjadual) di premis perniagaan biasa seperti kedai runcit dan gerai pasar

Pendaftaran Ubat

Semua ubat yang hendak dipasarkan di Malaysia perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia. Adalah menjadi kesalahan untuk memiliki, menjual, membekal, mengimport atau mengilang produk ubat yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pendaftaran ubat dibahagikan kepada tiga jenis mengikut kategori ubat iaitu :

i) Ubat Terkawal

Ubat terkawal merupakan ubat yang mengandungi bahan yang tersenarai sebagai racun berjadual sebagaimana dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952. Ubat terkawal untuk kegunaan manusia hanya boleh didapati daripada hospital, klinik dan klinik pergigian, yang mempunyai pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang berdaftar, serta ahli farmasi yang berdaftar dan mempunyai Lesen Racun Jenis A yang sah. Ubat terkawal tidak boleh didapati daripada premis perniagaan biasa seperti kedai runcit, atau gerai-gerai di pasar.

Setelah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia, ubat terkawal akan mempunyai Nombor Pendaftaran yang bermula dengan MAL, diikuti dengan lapan (8) nombor, dan huruf "A" selepas lapan nombor tersebut.

Beberapa contoh ubat terkawal dengan nama generik dan contoh-contoh nama jenama adalah seperti :Sildenafil (Viagra), Phentermine (Adipex, Duromine), Amlodipine (Norvasc), Atorvastatin (Lipitor).

ii) Ubat Bukan Racun (Over The Counter-OTC)

Ubat Bukan Racun merupakan ubat yang boleh dijual di premis perniagaan yang biasa seperti kedai runcit.

Setelah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia, ubat terkawal akan mempunyai Nombor Pendaftaran yang bermula dengan MAL, diikuti dengan lapan (8) nombor, dan huruf "X" selepas lapan nombor tersebut.

Beberapa contoh Ubat Bukan Racun dengan nama jenama adalah seperti : Panadol, Zentel, Eno, Eye Mo.

iii) Ubat Tradisional

Ubat Tradisional juga merupakan ubat yang boleh dijual di premis perniagaan yang biasa seperti kedai runcit.

Setelah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia, ubat terkawal akan mempunyai Nombor Pendaftaran yang bermula dengan MAL, diikuti dengan lapan (8) nombor, dan huruf "T" selepas lapan nombor tersebut.

Untuk memastikan sesuatu keluaran ubat adalah berdaftar dengan PBKD, selain daripada Nombor Pendaftaran yang boleh dijumpai di kotak ataupun bekas keluaran tersebut, keluaran tersebut juga perlu mempunyai hologram Meditag .

 

                          


 

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu
Tingkat 5, Wisma Persekutuan, Jalan Sultan Ismail, 20920 Kuala Terengganu.
Tel : 09-6222866| Faks : 09-6248367 

Emel : tanya_jknt@moh.gov.my


Hakcipta © 2016 Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu. Hak Cipta Terpelihara.
Penafian : Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan informasi yang diperolehi daripada portal ini dan penggunaan Google Translate untuk Bahasa Inggeris dan bahasa asing adalah tidak tepat.
 

      

   
Dasar Privasi | Dasar KeselamatanNotis HakciptaPenafian |
Penafian-Google Translator
| Polisi AgensiSoalan Lazim
| Versi Mobile |
  Kemaskini Terkini : 22 OGOS 2017 GMT+08:00
Paparan Terbaik : Firefox 7+ atau Internet Explorer 9+ atau Safari 5+ atau Chrome dengan resolusi minimum 1280 X 1024.
 

 

Statistik Pengunjung

9.png5.png4.png1.png0.png
Hari Ini:23
Semalam:235
Minggu Ini:837
Bulan Ini:5097
Jumlah:95410

Khamis, 24 Ogos 2017